Tajuk buku : Syair Siti Zubaidah Perang China
Penulis : Sulaiman Mar’i
Jumlah mukasurat : 296
Bahasa : Melayu – Jawi
Buku ini ditulis dalam tulisan jawi – jawi lama. Ia ditulis dalam dua kolum dan mengandungi 26 baris setiap kolum. Saya tidak pernah baca buku dalam bentuk begini sebelum ini. Saya boleh baca, tetapi agak merangkak pada mulanya kerana berbeza dengan tulisan arab yang mempunyai baris, tulisan jawi lama tidak mempunyai baris, dan berbeza dengan jawi moden, vokal juga tidak banyak.
Oleh kerana saya tetap berazam untuk membacanya, saya membaca sambil menaipkan patah-patah perkataan yang saya baca ke dalam komputer. Masih mengelirukan. Ianya adalah syair, jadi (pada pendapat saya) mestilah ada empat baris bagi satu rangkap dengan penghujungnya yang berakhir dengan irama yang sama. Oleh itu saya taipkan secara berterusan tanpa noktah dan tanpa baris serta rangkap, dengan harapan kemudiannya saya akan bertemu jawapannya. sukar juga, kerana perkataannya adalah perkataan lama, klasik dan sudah jarang digunakan sekarang ini. apalagi saya pula telah mengambil orientasi yang salah.
Sudah 25 mukasurat sudah saya taipkan, dengan menaip kolum sebelah kanan danulu, diikuti dengan kolum sebelah kiri, kemudian beredar ke mukasurat berikutnya. Saya mula menikmati ceritanya walaupun masih agak mengelirukan. Saya berhenti untuk merenung dan mengkaji cerita itu dari awal semula. Kenapa, dalam fikiran saya, ceritanya kelihatan tidak tersusun, sekejap bicara tentang cincu wangkang sedang bergaduh, sekejap sudah masuk tentang aduan ke negeri China.
Akhirnya, saya cuba membacanya dari awal dengan orientasi yang berbeza, iaitu dengan membaca baris pertama kolum kanan, kemudia baris pertama kolum kiri, dan begitulah seterusnya. Barulah saya temui di mana baris dan rangkapnya, iramanya juga terus tersusun, bagaikan menyelesaikan sebuah ‘jigsaw puzzle’.
Saya terus betulkan dan susun balik semua yang telah saya taipkan, barulah saya dapat menikmati keindahan cerita ini dalam ertikata yang sebenar.
Tetapi, saya belum habis baca lagi. Saya akan baca dengan perlahan bagi menikmati keindahan bahasa dan syair ini.
![]()






