Tajuk: Travelog Dakwah Meniti Hari Esok
Penulis : (Prof. Dr.) Muhd. Kamil Ibrahim
Penerbit : PTS Islamika – PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Jumlah muksurat : 142
Melalui Travelog Dakwah Meniti Hari Esok, Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim (selepas ini ditulis Prof. Dr. MKI) berkongsi pengalaman dan rasa teruja belaiu dalam perjalanan hidupnya melalui satu penghijrahan. Langkah pertama beliau bermula di puncak kerjayanya.
Perasaan teruja dengan pengalaman baru beliau mendekatkan diri dengan Tuhan jelas tergambar, sehinggakan keseronokan dan kebahagian yang dirasakan beliau ingin dikongsi bersama dengan seramai mungkin orang lain, walau siapapun dia. Dan perasaan ini diterjemah ke dalam bentuk penulisan dengan susunkata yang benar-benar menyentuh kalbu.
Antara perkara utama yang sentiasa beliau tekankan adalah banyakkan berdoa kepada Allah dengan sepenuh hati dan solat berjemaah. Prof. Dr. MKI berkali-kali menegaskan,
“ Saya manusia jahil. Saya tidak berilmu. Saya buta Al-Quran. Amal ibadat terlalu minimum.”
Kata-kata yang sebenarnya lebih ditujukan kepada diri sendiri agar sentiasa ingat siapa dirinya sebelum ini. Kata-kata yang diungkapkan lantaran rasa takut kepada Allah, takut niat ikhlas untuk berdakwah dan berkongsi kebahagiaan menikmati kebesaran Allah tergelincir ke lembah nafsu yang boleh menimbulkan rasa riya’.
Namun, kata-kata inilah juga yang dapat membuka hati pembaca-pembaca untuk menerima dan memandang positif dakwah beliau. Tidak timbul komen-komen sepi seperti “Ah, dia ustaz, bolehlah dia buat” atau “Dia ini seorang professor, genius. Kejayaan sudah bersamanya semenjak dari kecil lagi. Kita ini siapa, orang biasa. Manakan mampu.” Setiap pembaca dapat merasakan mereka juga pernah melalui jalan itu. Pernah merasa rendah diri kerana tidak tahu membaca al-Quran. Pernah rasa gementar kerana tidak hafal doa. Pernah merasa tidak layak untuk memberi nasihat kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup.
Melalui wadah penulisan yang merupakan salah satu kekuatan beliau, Prof. Dr. MKI mendedahkan bahawa ilmu yang sedikit dikongsi dengan cara yang sedikit (“tapi signifikan…” terdengar suara kecil yang bunyinya seperti suara Prof. MKI menambah), ilmu yang banyak dimanfaatkan lagi agar sentiasa hidup. Dan ilmu yang diamalkan, apabila dikongsi lebih memberi kesan daripada ilmu yang tersimpan di dada dalam bentuk maklumat.
Perkara yang disampaikan adalah perkara biasa. Bagi ahli-ahli pertubuhan jemaah Islam, ianya adalah amalan-amalan asas yang sudah lama dipraktikkan. Sembahyang jemaah, sembahyang Dhuha dan membaca al-Ma’thurat.
Walaubagaimanapun, cara penyampaian dan penulisan buku ini meruntun jiwa, menyeru pembaca dengan penuh rasa malu dan takut kepada Allah. Hanya mereka yang membaca buku ini dengan dada yang lapang dan fikiran yang terbuka dapat merasai ruhnya. Travelog Dakwah Meniti Hari Esok adalah suatu pengembaraan yang menyelami lubuk hati setiap pembaca melalui dimensi masing-masing.
Buku ini boleh dibeli atau ditempah secara terus daripada penulisnya di http://www.muhdkamil.net/kehidupan/
![]()


Related Articles
1 user responded in this post
Assalamualaikum Norjihan. Salam blog dan tak lupa jugak salam buku. Cantik template blog ni. Jemput jalan-jalan ke tapak web saya – mungkin boleh bertukar cerita buku
.
Leave A Reply