Tajuk: Used and Rare : Travels in the book world
Penulis : Lawrence and Nancy Goldstone
Genre : Dokumentari
Penerbit: St. Martin’s Griffin, New York (1997)
Jumlah mukasurat : 215
Used and Rare : Travels in the book world adalah sebuah dokumentari berkenaan nilai buku-buku lama. Pasangan Goldstone menceritakan kembara mereka ke dunia buku. Pasangan ini adalah pasangan penulis yang telah menulis beberapa buah buku bisnes dan fiksyen. Pasangan ini terjebak ke dunia buku-buku antik secara kebetulan ketika mencari hadiah harijadi pada harga yang telah dihadkan.
Pasangan ini menceritakan dengan rasa teruja penemuan demi penemuan tentang nilai dan konsep buku menurut pandangan pengumpul (collector). Kebanyakan tajuk buku-buku terpakai dan antik yang disebut dalam buku ini adalah fiksyen. Antara pengkarya yang disebut adalah Sir Arthur Conan Doyle, Hans Christian Anderson, Agatha Christie, Willian Shakespeare, Charles Dickens, Edgar Allan Poe, Hemingway dan beberapa nama lagi.
Nilai buku yang diletakkan agak tidak munasabah – ada yang mencapai USD80,000. Nilai yang bergantung kepada keadaan buku, cara pengjilidan dan populariti pengkarya. Buku yang paling mahal adalah buku yang mula-mula diterbitkan – maksudnya, cetakan pertama dan edisi pertama, dan kewujudan kesilapan teknikal.
Pasangan ini ada menyatakan terdapat beberapa panduan yang turut dijual tentang cara menilai buku, dan terma-terma yang digunakan. Menelusuri dunia buku yang akhirnya menjadi semcam satu kegilaan kepada pasangan ini, bagaikan berlaku peningkatan dalam melampiaskan hobi mereka.
Di penghujung buku ini, pasangan ini akhirnya akur dengan persoalan yang sejak dari awal telah bermain di sanubari mereka, bagaimana nilai buku-buku tersebut boleh menjadi tinggi. Mereka akhirnya mengambil peluang untuk berbincang dengan salah seorang pembekal buku-buku terpakai dan antik ini.
Ternyata bukan semua pengumpul mengumpul buku-buku tersebut kerana isi kandungan atau rasa cinta terhadap buku. Mereka mengumpul buku-buku ini sama seperti mereka mengumpul hasil-hasil seni lain seperti lukisan, telur faberge dan barangan seni – sebagai pelaburan.
Harga buku-buku tersebut bukanlah ditentukan oleh pembekal, tetapi oleh pembeli sendiri yang sanggup membayar.
Walaubagaimanapun, buku ini dipersembahkan dengan begitu menarik dan tidak mengundang rasa bosan, walau subjek yang dibicarakan hanya satu sahaja ….
Sekurang-kurangnya dapat mengenali dunia buku dari satu dimensi yang baru, walau kedengaran agak asing di Malaysia.
![]()



Related Articles
No user responded in this post
Leave A Reply