Tajuk buku: Seteguh Tekad
Penulis : Prof. Dr. Sidek Baba
Genre : Jibunsyi/Autobiography
Penerbit : Alaf21
Halaman : 319
Bila sudah mula membaca buku ini, rasanya tidak boleh letak lagi sehinggalah selesai. Namun, ada tanggungjawab yang menanti, jadi tidak bolehlah ikutkan perasaan hati.
Seteguh Tekad adalah sebuah jibunsyi yang menggamit rasa. Rasa sayu dan insaf silih berganti, juga rasa bersemangat untuk kembali berjuang dalam meningkatkan nilai diri dan ke medan dakwah.
Cikgu Sidek (sebagaimana gelaran yang lebih digemari oleh beliau) menggarap liku-liku kehidupan yang ditempuhinya dengan tenang dan teratur dan disulami dengan emosi dan doa. Cikgu mengisahkan hidupnya sebagai insan biasa yang berjiwa besar, mengait impian demi impian dan berpijak di alam nyata. Pengorbanan keluarga beliau amat bernilai, dan Cikgu sering mengungkapkan pesanan ayahanda :
Kalau takdir kau jadi orang yang dikenali, jangan lupa ALLAH. Selalu tolong orang yang susah. Selalu kaitkan rezeki dengan berkat. Kalau kau jujur dengan ALLAH, pertolongan ALLAH akan datang.
Bagi generasi-generasi tertentu, Seteguh Tekad dapat menimbulkan nostalgia, hidup berjuang, dan mungkin, menyalakan kembali api perjuangan yang kian malap di sanubari…. kerana erti perjuangan tidak terbatas, banyak jenis dan dimensi perjuangan yang boleh disumbangkan oleh setiap individu.
Dinyatakan juga tugas dan tanggungjawab seorang guru dan pendidik. Pengertian pendidik dalam ertikata yang sebenar. Semoga para guru yang membaca buku ini dapat muhasabah kembali sejauh manakah tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan anak bangsa telah terlaksana.
Kepada semua, bacalah Seteguh Tekad, kerana dalam buku ini ada sebahagian dari diri kita jua…. pengalaman yang lalu dan impian ….
![]()



Related Articles
No user responded in this post
Leave A Reply